Friday, August 28, 2009

Madrasah Ramadhan dan Penghayatan Al-Quran

Tulisan FaAh

Berkata seorang ulama’ bahawa fokus utama Ramadhan ialah penurunan Al-Quran yang mempunyai maksud amat besar. Namun katanya lagi, “Kita banyak berkisar kepada puasa, solat terawih, cara solat witir. Sedangkan fokus utama penurunan al-Quran mempunyai maksud yang jauh lebih besar.”

Al-Quran diturunkan sebagai panduan untuk menegakkan suatu sistem hidup yang luhur agar masyarakat secara global memperakui tuhan yang satu serta tidak berpecah belah.

Di mana suasana Al-Quran dapat dilihat?

Di Negara Islam yang lain, kita mampu melihat suasana ini di merata tempat samaada di kaki jalan dan sesiapa sahaja tidak kira peringkat umur membaca Al-Quran. Bagaimana dengan Malaysia?? Sebuah Negara Islam, namun apa yang pasti berapa ramaikah mereka yang mampu membaca Al-Quran dengan baik di sini? Suasana Ramadhan di Malaysia adalah suasana membuat persiapan untuk menghadapi hari raya.

Kita hanya mengharapkan orang-orang tua yang bertadarus di masjid-masjid apabila tibanya Ramadhan, itupun berapa kerat sahaja? Di mana anak-anak muda kita? Hanya mengharapkan pelajar-pelajar Tahfiz yang membacanya. Bagaimana pula pelajar Tahfiz di Imtiaz Dungun? Semoga ruh Al-Quran itu ada di sini kerana siapa lagi yang akan membina bi’ah ini sekiranya bukan kita???

Mengapa ia terjadi?

Hal ini berlaku di Negara kita kerana kurangnya penghayatan Al-Quran dalam diri masyarakat kita hari ini. Jadi mari kita sama-sama menghayati agama dengan memperingatkan diri dengan riwayat-riwayat yang mengaitkan Ramadhan dengan penghayatan Al-Quran.

Riwayat-riwayat yang mengaitkan Ramadhan dengan penghayatan Al-Quran

Firman Allah Taala yang bermaksud : “ Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturnkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).” (Al-baqarah : 185)

Menurut satu riwayat Ibnu Abbas r.a., ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w adalah sebaik-baik manusia, baginda menjadi lebih baik pada bulan Ramadhan ketika mana Jibril a.s menemuinya (Rasulullah) pada setiap malam pada bulan Ramadhan lalu mengajarkannya al-Quran. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Maka Ramadhan itu sendiri dikhususkan untuk baginda bertadarus dengan Jibril, di mana baginda memeriksa bacaan serta hafalan di hadapan Jibril a.s. Pada setiap tahun, baginda s.a.w murajaah ayat-ayat al-Quran yang telah diturunkan dalam tempoh setahun sebelumnya.

Imam al-bukhari juga meriwayatkan bahawa pada tahun kewafatan baginda Rasulullah s.a.w memperdengarkan al-Quran kepada Jibril a.s sebanyak 2 kali khatam. Berdasarkan ini juga para ulama’ berpendapat mengkhatamkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan adalah bersesuaian dengan syarak.

Dengan ini adalah sunat bagi setiap Muslim untuk membaca al-Quran pada bulan Ramadhan dengan sekali khatam ataupun lebih. Menurut riwayat Imam At-Tirmizi dan Ahmad bin Hambal adalah sunat mengkhatamakan al-Quran sekali pada setiap bulan. Manakala Imam Malik meriwayatkan dalam al-Muwatta’ , bagi sesiapa yang mampu, maka dikhatamkan al-Quran seminggu sekali.

Imam Malik sendiri apabila memasuki bulan Ramadhan, beliau akan meninggalkan bacaan hadis samaada untuk mengajar ataupun meriwayatkannya. Beliau akan memperbanyakkan bacaan al-Quran.

Begitulah juga para ulama’ dari kalangan salaf as-solihin. ada dikalangan mereka yang mengkhatamkan al-Quran sekali pada setiap tiga malam. Sehinggakan pada 10 akhir Ramadhan mereka mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam.

Namun, bukanlah semata-mata khatam al-Quran itu yang menjadi keutamaan. Al-Quran itu hendaklah dibaca dengan bertadabbur untuk memahami ajaran yang terkandung di dalamnya dan Allah juga memerintahkan Rasulullah secara tartil.

Madrasah Ramadhan yang kita lalui ini mengajar kita bahawa :-

1. Mengikut dan mengamalkan apa-apa yang diperintah Allah di dalam Al-Quran sebagai sumber manhaj Rabbani itu merupakan kewajipan bagi setiap Muslim.

2. Ikutan dan amalan itu hendaklah dilakukan oelh orang perseorangan oleh kerajaan menurut bidang kuasa yang telah ditetapkan oleh Allah.

3. Manusia, samaada perseorangan atau kerajaan, yang mengamalkan sebahagian dan meninggalkan yang sebahagian tuntutan al-Quran adalah satu perbuatan yang dimurkai oleh Allah.

4. Manusia mestilah mempelajari, al-Quran itu samaada di sudut pembacaan ataupun di sudut pengertian dan kandungannya.

5. Manusia mestilah mempercayai dan berpegang teguh dengan apa-apa yang diturunkan Allah s.w.t dalam al-Quran itu.

Waallahu’alam…

rujukan : akhbar alternatif nombor 1 negara.

KEMPEN BACA QURAN di bulan RAMADHAN : SUMUR



0 comments:

Post a Comment

 

SUMUR Imtiaz Dungun Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template