Monday, August 24, 2009

Sejarah pelancaran Modul Sahsiah Unggul Murid

Modul Sahsiah Unggul Murid dilancar TANJONG KARANG, 29 Oktober - Kementerian Pelajaran hari ini melancarkan Modul Sahsiah Unggul Murid (Sumur) untuk sekolah menengah kebangsaan agama dan sekolah agama bantuan kerajaan bagi memartabatkan sahsiah diri dan meningkatkan jati diri pelajar di negara ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar yang melancarkan modul itu di Sekolah Menengah Agama Tanjong Karang di sini, berkata modul ini sekiranya berjaya, akan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain.

Projek perintis Sumur yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu dan dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar awal tahun ini, juga diharap dapat menjadi jalan penyelesaian dan pendekatan bagi mengurangkan masalah disiplin di kalangan pelajar, katanya.

Datuk Noh berkata Sumur mengandungi lima modul bagi menghasilkan murid yang memiliki 5C -- Contoh, Cerdas, Cerdik, Cergas dan Ceria.

"Contohnya modul murid contoh menumpukan agar murid mempunyai penampilan diri yang kemas dan menyenangkan, pandai mengurus diri sendiri, bijak mengurus masa, mengamalkan adab belajar yang berkesan dan mempunyai ketahanan diri dalam menghadapi cabaran hidup," katanya.

Modul murid cerdas pula antara lain menekankan murid agar mengenal diri sendiri, mempunyai prinsip hidup cemerlang mempunyai semangat patriotisme dan jati diri bangsa serta sentiasa memburu kejayaan dan pengiktirafan, manakala modul murid cerdik termasuk menumpukan kepada peningkatan daya kepimpinan dan memiliki daya juang yang tinggi.

Datuk Noh berkata pelancaran Sumur sangat bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mengembalikan jati diri rakyat Malaysia sebagai warga timur yang kaya dengan nilai dan budi pekertinya.

"Selain pendekatan hukuman dan kaunseling yang biasa diambil, mendekati pelajar dan menyediakan mereka dengan pelbagai kemahiran dan kesedaran yang perlu didapati memberi kesan kepada penurunan kes-kes disiplin," katanya.

Mengenai masalah disiplin, Datuk Noh berkata semua pihak seharusnya memainkan peranan dan Sumur merupakan antara langkah yang disusun kementerian bagi menangani masalah disiplin di sekolah.

"Pada masa ini penurunan angka dan peratus kes buang sekolah akibat masalah disiplin adalah bukti yang menunjukkan bahawa perancangan dan langkah-langkah yang dijalankan kementerian telah menunjukkan kesan," katanya.

Beliau berkata pada tahun lepas jumlah pelajar yang dibuang sekolah menurun kepada 2,526 orang daripada 7,493 orang pada 2005, manalaka sehingga Mei tahun ini hanya 540 orang pelajar dikenakan tindakan yang sama.

Pada majlis itu, Datuk Noh turut melancarkan Kelab Braille Al-Quran untuk sekolah menengah kebangsaan agama bagi memperluaskan kemahiran pelajar golongan kurang upaya membaca Al-Quran dalam bentuk braille.

Penubuhan kelab itu dirintis oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Melur, Kelantan.

0 comments:

Post a Comment

 

SUMUR Imtiaz Dungun Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template