Saturday, November 21, 2009

Pentingnya menghayati Islam


Telah disunting...
Syukur yang tidak terhingga dipanjatkan ke hadrat Allah yang Maha Esa kerana kita masih diberi 2 nikmat terbesar iaitu nikmat iman dan Islam. Walaupun kita sudah pun memeluk Islam saat kita dilahirkan ke dunia fana ini, namun hakikatnya masih ramai yang hanya menonjolkan Islam pada nama semata-mata. Mereka inilah yang tenggelam timbul dalam arus pemodenan y7ang deras menghanyutkan umat Islam yang lalai. Berbeza dengan insan-insan terpilih yang dikurniakan hidayah oleh Allah S.W.T. Kehidupan mereka yang ada pada mula jauh menyimpang daripada kebenaran akhirnya dianugerahkan sinar kebaikan yang dijadikan panduan untuk kembali kepada Islam. Maka seharusnya kita bersyukur dengan nikmat hidayah yang telah dikurniakan.

ٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ‌ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَوۡلِيَآؤُهُمُ ٱلطَّـٰغُوتُ يُخۡرِجُونَهُم مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَـٰتِ‌ۗ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِ‌ۖ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ

Seperti baru semalam, Gua Hira' menjadi saksi peristiwa penurunan wahyu pertama yang disampaikan melalui Jibrail kepada Nabi Muhammad S.A.W. Dengan berlakunya peristiwa bersejarah ini, bermulalah tanggungjawab baginda sebagai Rasulullah berdakwah dan menyampaikan agama Islam kepada umat manusia akhir zaman.

Persoalan terbesar yang perlu kita tanyakan kepada diri kita semua, sejauh manakan penghayatan kita terhadap agama Islam?? Sebesar manakah pengorbanan yang telah kita lakukan dalam mempertahankan syiar Islam agar terus berkembang di atas muka bumi ini?? Seperti masih bergema tangisan sayu Muhajirin mengiringi penghijrahan mereka ke Madinah. Pengorbanan mereka meninggalkan semua yang mereka miliki demi menegakkan Islam bukanlah suatu perkara yang sia-sia, malah menjadi titik tolak penyebaran Islam ke serata dunia. Maka, kita yang masih diberi kesempatan untuk hidup oleh Allah S.W.T wajib meneruskan perjuangan ini. Sesungguhnya, Jihad tidak akan berakhir sehingga hari kiamat.

Berkorbanlah walau sedikit cuma. Dengan izin Allah Taala, mungkin sahaja pengorbana sekecil biji sawi yang lahir dari hati yang ikhlas ingin membantu ad-Din itulah yang menyelamatkan daripada azab neraka Jahannam. Orang yang mampu berkorban itu sudah tentulah orang yang beriman. Lihat sahajalah ketabahan hati golongan Muhajirin. Mana mungkin mereka akan berkorban untuk berhijrah ke Madinah jika mereka tidak benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Oleh itu, marilah kita bersama membina keimanan yang tinggi melalui pemantapan ibadah, rohani dan jasmani. Tingkatkan kualiti ibadah dengan menyelitkan rasa ikhlas beribadat kepada Allah selain mencari kekhusyukan dalam solat sehari-hari. Tambahkan amalan sunat serta jauhi perkara-perkara makruh. Jangan dilupakan kewajipan dan tinggalkan yang diharaman-Nya. Nescaya keimanan akan tumbuh subur dlam diri kita semua. Hayati kemanisan beribadah agar kita dapat menghayati Islam yang kita perjuangkan.

Ingatlah, Dunia pernah menyaksikan kegemilangan Tamadun Islam yang terlakar dalam lipatan sejarah. Lahirnya ilmuwan-ilmuwan Islam terulung seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi dan Ibnu Khaldun yang diakui kehebatan mereka. Penaklukan demi penaklukan yang berjaya dilakukan oleh pasukan tentera Islam yang bersemangat waja. Panglima tentera Islam seperti Khalid Al-Walid yang gagah perkasa serta barisan pemimpin negara yang adil dan saksama membuktikan kehebatan Islam di mata dunia. Bagaiman kejayaan ini dikecapi??? Jawapannya, sudah pastilah cara hidup dan tindakan mereka yang berlandaskan penghayatan terhadap Islam. Dan juga penghayatan yang sepenuhnya terhadap "LA ILAAHA ILLA ALLAH MUHAMMADUR RASULULLAH".

Ayuh kita menghayati Islam bagi mengembalikan kegemilangan Islam di muka bumi ini seiring dengan matlamat umat Islam seluruhnya iaitu untuk mendapat keredhaan Allah serta menggapai syurga Allah yang kekal abadi, InsyaAllah...



"Akan datang kepada manusia satu zaman yang tidak kekal daripada Islam melainkan namanya dan tidak kekal daripada al-Quran melainkan resamnya"

0 comments:

Post a Comment

 

SUMUR Imtiaz Dungun Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template