Friday, June 25, 2010

Solat Taubat Penjernihan Jiwa

Sumber rujukan: Solat Taubat (Panduan Penjernihan Jiwa)
Muhammad Isa Selamat

ALLAH swt sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8.)

Allah telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya: “Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)

Syarat-syarat taubat :

  1. Ikhlas ingin bertaubat
  2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi
  3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan
  4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya
  5. Dikerjakan sebelum ajal tiba

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.

Waktu melaksanakan taubat :

Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.

Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati beerti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya

Firman Allah: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar: 30)

Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.

Cara melaksanakan solat taubat :

Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;

  • Waktu di lakukan – bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat)*. Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail
  • Lafaz niat: “Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.” (Cukup di dalam hati, ada perbahasan ulama’ tentang lafaz niat dlm ibadah – sila rujuk kpd pakar feqah)
  • Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),
  • 027alquran3.gif

    Ertinya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”

  • Selepas salam, perbanyakkan istighfar seperti,

munajat1.jpg

Ertinya: Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah.

  • dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,

penghulu.jpg

Ertinya: “Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”

  • Kemudian boleh juga berdoa mengikut luahan hati dan munajat masing-masing ke hadhrat Allah.

Continue Reading...

Thursday, June 24, 2010

Keistimewaan Rejab


Apabila kita meneliti kepelbagaian sumber yang ada di tangan ulama, didapati Rejab ada keistimewaannya tersendiri. Tidak hairanlah inti sari (matan) hadis “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..” disokong oleh ulama muktabar.

Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas sebagaimana yang direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam al-Ghunyah.

Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana kualiti sanad yang diriwayatkannya.

Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan nas al-Quran. Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah S.W.T pada surah al-Taubah ayat 36 mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan: Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi s.a.w menegaskan Rejab adalah bulan Allah, iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban.

Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab. Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri.

Hal ini jelas sebagaimana diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba’ien.

Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab).

Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim)

Imam al-Nawawi mengatakan: “Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain.

Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa di bulan Rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunahan puasa terbabit.

Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: “Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi s.a.w menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu darinya.”

Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: “Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) di zaman Jahiliyah. Maka apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini. Baginda menjawab : “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan.”

Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”

Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya yang tersendiri. Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulamak salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab.

Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam agar kita tidak tersasar daripada landasan yang benar.

Dalill yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan.

Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita?

Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah.

Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita. InsyaAllah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.

Continue Reading...

JADUAL PROGRAM MINGGUAN (BANIN)


Sila semak nama anda dan kami berharap anda dapat melaksanakan tugas anda dengan baik, InsyaAllah
Continue Reading...
 

SUMUR Imtiaz Dungun Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template