Thursday, April 15, 2010

Sambutan Maulidur Rasul 1431H


Sekolah Menengah imtiaz Dungun telah mengadakan Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah pada 10 Mac 2010 bersamaan 24 Rabiul Awal 1431 H di bawah anjuran Sahsiah Unggul Murid 2010. Pelbagai acara telah diadakan bagi memeriahkan sambutan tersebut, antaranya mengadakan perarakan, ceramah dan penganugerahan tokoh maulidur rasul. Acara sambutan dimulakan dengan perarakan bermula di Dataran Imtiaz A pada pukul 8.00 pagi dan berakhir sekitar jam 9.00 pagi di Masjid An-Naim. Di sana, ceramah agama bertajuk “Maulidur Rasul” telah diadakan dan disampaikan oleh Ustaz Wan Ubaidillah bin Wan Nawi.

Upacara penyampaian anugerah tokoh maulidur rasul diadakan sejurus selepas berakhirnya ceramah. Terdapat 3 kategori bagi anugerah iaitu kategori pelajar, guru dan kakitangan. Bagi kategori pelajar, ia telah dimenangi oleh adik Ahmad Amirul Insan bin Che Zahari (menengah atas) dan adik Abdullah Munzir bin Abdul Karim (menengah bawah). Kategori guru pula dimenangi oleh Ustaz Ahmad Sukri bin Omar manakala kategori kakitangan pula dimenangi oleh Tengku Mazlan bin Tengku Ahmad.
Sebanyak 25 dorm telah menyertai perarakan pada hari tersebut. Johan bagi perarakan dimenangi oleh dorm Husin dan dorm Sofiyyah. Dorm Abu Bakar (B) dan dorm Zainab (A) memenangi tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi oleh dorm Hamzah dan dorm Ummu Salamah.

Sambutan Maulidur Rasul pada kali ini telah berjaya menambahkan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah di samping dapat mengeratkan lagi hubungan antara guru, pelajar dan kakitangan sekolah.



Sambutan ini adalah bertujuan menyuburkan lagi perasaan cinta akan baginda Rasulullah S.A.W samaada dalam kalangan pelajar, guru, staf mahupun penduduk setempat. Melihat keadaan umat Islam hari ini yang terumbang ambing dalam arus kemodenan maka sememangnya wajar bagi kita menyambut kelahiran Rasulullah. Mulut terlalu mudah mengakui bahawa kita mencintai baginda Nabi Muhammad S.A.W namun hakikatnya berapa kalikah kita berselawat ke atas baginda dalam sehari?

Antara cara untuk kita mencintai baginda seterusnya mendapatkan cinta baginda kepada kita sebagai ummat baginda yang memerlukan syafaat baginda di akhirat kelak adalah dengan mengenali baginda. Saya sediakan video pengajian kitab Syamail Muhammadiah (peribadi Rasulullah) oleh Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir.



0 comments:

Post a Comment

 

SUMUR Imtiaz Dungun Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template